Sabtu/Ahad, 18/19 Ogos 2007








 

Didik pelajar untuk berfikiran matang, hindar kemungkaran

Oleh Sim Y. H.

Wakil pelajar menyampaikan ucapan.

Pehin Mejar Jeneral (B) Dato Seri Haji Mohammad menyampaikan sijil kepada penuntut.

Penuntut bergambar dengan sijil mereka.

BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat - Pendidikan formal yang dikendalikan pihak awam dan swasta sejak kebelakangan ini berkembang dengan pesat yang selari dengan tuntutan kehidupan yang semakin kompleks.

Dengan runtuhnya sempadan sosial serta kemajuan pesat dalam bidang info-komunikasi, pendidikan konvensional tidak lagi mampu memenuhi tuntutan ilmu yang diperlukan oleh masyarakat yang semakin cepat berubah, kata Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Pehin Mejar Jeneral (B) Dato Seri Haji Mohammad Haji Daud ketika berucap di majlis penyampaian sijil kepada penuntut sesi 2006-2007, Kolej Perdagangan Laksamana, hari ini.

Dari perspektif pertumbuhan belia, katanya, institusi pendidikan swasta yang menawarkan kemahiran kehidupan yang praktikal boleh melahirkan golongan belia yang mampu menyumbang ke arah pasaran pekerjaan.

Di samping itu beliau mengingatkan selain mengambil kira pertimbangan perniagaan institusi pendidikan swasta harus memberi keutamaan kepada pertumbuhan belia dengan pendidikan sempurna.

Perkara itu, tambah Pehin Mejar Jeneral (B) Dato Seri Haji Mohammad adalah selaras dengan hasrat kerajaan mencapai aspirasi untuk mendidik belia berfikiran matang dan menghindari kemungkaran.

Oleh itu semua peringkat pendidikan mempunyai fungsi bagi membina jati diri dan memberi makna kepada kehidupan mereka dan orang di sekeliling mereka, katanya.

Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan kemudian menyampaikan sijil kepada lebih 70 penuntut kolej itu yang tamat kursus.

 

 
Isnin
Selasa
Rabu
Khamis
Jumaat
Sabtu/Ahad
 
Copyright © 2007 Brunei Press Sdn Bhd. All Rights Reserved.