![]()
Khamis, 8 Julai 2004
Sektor swasta diminta bantu tingkat prasarana pendidikan
Oleh Md Yusri Haji Tuah
Pehin Dato Paduka Haji Suyoi menyampaikan sijil kepada peserta kursus.BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu - Kementerian Pendidikan mahu sektor swasta memainkan peranan aktif meningkatkan penyediaan prasarana pendidikan negara ini bagi menampung kekurangan tempat belajar dan supaya negara ini tidak terlalu bergantung pada prasarana pendidikan luar negara.
Timbalan Menteri berkenaan Pehin Dato Paduka Haji Suyoi Haji Osman berkata komitmen menyediakan prasarana pendidikan tidak seharusnya dibebankan pada kerajaan semata-mata kerana pihak swasta juga bertanggungjawab dalam pembangunan negara.
Prasarana pendidikan serba lengkap, bersepadu dan berwawasan akan menghasilkan pembangunan stabil, maju dan berkualiti tinggi, katanya pada majlis penyampaian sijil lepasan Laksamana College of Business hari ini.
Matlamat pendidikan pula adalah untuk melahirkan generasi Brunei yang antara lain berilmu, berkemahiran, berteknologi tinggi, berakhlak dan bertakwa serta komited menjulang martabat bangsa.
"Jika prasarana pendidikan tidak mantap, maka matlamat pembangunan akan tersasar dan sudah tentu tidak dapat dikecapi dengan baik dan sempurna," katanya.
Beliau berkata kualiti pendidikan adalah teras pembangunan negara dan kerana itu ia memerlukan penyelarasan, kawalan dan pemantauan mengikut prosedur tertentu supaya pencapaian itu diterima atau memenuhi taraf keperluan negara.
Atas alasan ini kerajaan menubuhkan Majlis Kebangsaan Pengiktirafan Kelulusan, Negara Brunei Darussalam (MKPK) pada 1990 yang bertanggungjawab atas segala penilaian kelulusan bagi pengiktirafan oleh kerajaan, tambahnya.
Jelasnya, tujuan dan matlamat majlis ialah memastikan nilai atau taraf sesuatu kelulusan itu selaras dengan kelulusan dari institusi yang diiktiraf kerajaan negara ini.
Beliau berkata Kementerian Pendidikan berbangga dengan kejayaan 30 pelajar yang menamatkan kursus asas dan kursus tahun pertama ijazah dalam Kajian Perniagaan sejak kolej ini ditubuhkan awal tahun lalu.
Menurutnya, kejayaan ini membuktikan komitmen pihak swasta membantu kerajaan menyediakan pasarana pendidikan tinggi dan melatih keperluan tenaga mahir di negara ini.
Copyright © 2004 Brunei Press Sdn Bhd. All rights reserved.